Sunday, September 7, 2008

Pemurahnya Orang Melayu

Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan dengan Melayu dan hak istimewa Melayu sering kali dibicarakan secara terbuka di dalam media massa arus perdana. Semakin banyak pertubuhan yang ingin mencabar elemen-elemen yang menjadi tonggak jati diri masyarakat Melayu seperti status agama Islam, hak istimewa, status bahasa Melayu dan kuasa Raja Melayu. Democratic Action Party atau DAP sudah terang-terang menolak perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, yang merupakan polisi yang banyak membantu Melayu, untuk dilaksanakan di negeri di bawah pemerintahannya. Selain itu, atas alasan mahu mengekalkan warisan, nama-nama jalan utama di Pulau Pinang ditulis juga dengan perkataan Mandarin. Ternyata ini merupakan satu amaran awal bahawa Pulau Pinang akan ‘di-Singapura-kan’ oleh DAP. Majlis Peguam juga makin berani dengan mengadakan Forum Memeluk Islam bagi menyoal prinsip-prinsip yang dipegang oleh Mahkamah Syariah dalam mengadili kes-kes yang melibatkan mualaf. Baru-baru ini juga, Ketua UMNO Bukit Mertajam secara terbuka mendakwa orang Cina pada zaman pra-Merdeka ialah kaum pendatang. Walaupun secara faktanya betul, namun kebanyakan pemimpin Cina bangkit membantah termasuk dari Barisan Nasional

Kenapa pertembungan ini berlaku? Kenapa selepas 51 tahun merdeka masyarakat Melayu dan bukan Melayu terus menerus bertentangan idea dan bercanggah pendapat berhubung dengan hak istimewa Melayu, status Bahasa Melayu, Islam dan kuasa Raja Melayu. Bukankah ini semua sudah pun termaktub dalam perlembagaan? Bukankah ini sudah dipersetujui oleh pemimpin Melayu dan bukan Melayu di zaman pasca kemerdekaan dahulu?Kenapa anak cucu pemimpin Melayu dan bukan Melayu masih bertelingkah berhubung perkara ini?

Sebenarnya, masyarakat Melayu mungkin gagal dari sudut penerangan terhadap generasi kedua dan ketiga masyarakat bukan Melayu. Kegagalan penerangan ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti persepsi bahawa isu ini tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan jika masyarakat bukan Melayu yang membicarakannya, mereka takut dituduh sebagai bersifat perkauman. Persepsi ini memang ada benarnya kerana memang soal seperti keistimewaan Melayu memang sudah termaktub di dalam perlembagaan dan tidak boleh dipersoal tetapi jika kita tidak membincangkan secara terbuka tetapi penuh berhemah mungkin masyarakat bukan Melayu tidak akan memahami semangat yang wujud di sebalik konsep keistimewaan orang Melayu. Selain itu, kedua-dua pihak , orang Melayu dan bukan Melayu haruslah memberhentikan ‘emotional judgment’ atau mengadili isu ini dengan penuh emosi bagi menjaga hati kedua-dua pihak.

Kita seringkali berbicara tentang 4 tunjang utama yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu dan bukan Melayu satu ketika dahulu iaitu hak istimewa orang Melayu, status Islam, Bahasa Melayu dan kuasa Raja melayu. Semua ini memang betul dan termaktub dalam perlembagaan. Namun kita terlupa tentang hakikat tentang wujudnya satu lagi konsep dalam rangkaian 4 perkara tadi iaitu hak kewarganegaraan. Pemimpin Melayu setuju untuk memberi hak kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dan pemimpin bukan Melayu menerima 4 perkara tadi sebagai membalas pemberian hak kewarganegaraan. Konsep ini dinamakan ‘ Kontrak Sosial’ yang formulanya ialah 4 + 1.Satu fakta yang tidak harus dilupa ialah pada zaman kemerdekaan sebelum kontrak sosial ini dipersetujui, orang bukan Melayu memang berstatus pendatang. Ini bermakna mereka bukanlah warganegara atau penduduk asal Tanah Melayu seperti orang Melayu. Tuan bagi Tanah Melayu ialah orang Melayu dan orang Melayulah berhak menentukan polisi apa yang patut wujud di Tanah Melayu. Konsep ini boleh digunakan juga di negara China dan India iaitu orang berketurunan Cina dan Indialah berhak menentukan polisi apa yang patut mereka laksananakan di negara China dan India kerana mereka tuan di negara mereka. Pemimpin Melayu di Tanah Melayu bersetuju untuk memberi hak kewarganegaraan dan pemimpin bukan Melayu menerima 4 perkara iaitu hak istimewa Melayu, Islam, Bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Generasi kedua dan ketiga orang bukan Melayu di negara kita gagal memahami konsep kontrak social 4 + 1 ini. Mereka merasakan bahawa 4 perkara asas yang dipertahankan oleh orang Melayu menekan dan mendiskriminasi mereka tetapi mereka gagal untuk melihat betapa baiknya orang Melayu untuk memberikan mereka satu perkara yang mempunyai banyak kebaikan iaitu soal hak kewarganegaran yang diberikan tanpa syarat yang ketat kepada nenek moyang mereka. Apa ertinya hak kewarganegaraan ini? Hak kewarganegaraan ini bererti bahawa orang Cina dan India akan memperolehi peluang pendidikan yang percuma, perkhidmatan kesihatan yang murah, hak untuk bersuara, hak untuk menubuhkan persatuan, hak untuk berpolitik , hak untuk mengundi dan hak-hak lain yang dibenarkan perlembagaan. Bayangkan jika pemimpin Melayu di zaman kemerdekaan hanya bersetuju untuk member status ‘penduduk tetap’ atau sekadar status pendatang kepada orang Cina dan India, mungkinkah generasi kedua dan ketiga mereka akan hidup senang lenang dan mewah seperi sekarang? Orang Melayu memang begitu pemurah dengan memberikan status kewarganegaraan tanpa syarat yang ketat kepada orang bukan Melayu. Bayangkan dengan adanya status kewarganegaraan ini, orang Cina dan India diberi peluang untuk bukan sahaja berpolitik malah berpeluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Bukankah ini merupakan satu bentuk pemberian yang sangat murni oleh orang Melayu kepada bukan Melayu. Hakikat kebenaran tentang formula 4 + 1 kontrak sosial ini yang gagal difahami oleh orang bukan Melayu yang membuatkan mereka melenting, marah dan merasakan diri mereka ditindas oleh orang Melayu sedangkan hak kewarganegaraan yang diberikan oleh orang Melayu melalui kontrak sosial inilah yang memberi begitu banyak nikmat kepada kaum pendatang Cina dan India. Pemurahnya orang Melayu…..