Sunday, September 7, 2008

Pemurahnya Orang Melayu

Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan dengan Melayu dan hak istimewa Melayu sering kali dibicarakan secara terbuka di dalam media massa arus perdana. Semakin banyak pertubuhan yang ingin mencabar elemen-elemen yang menjadi tonggak jati diri masyarakat Melayu seperti status agama Islam, hak istimewa, status bahasa Melayu dan kuasa Raja Melayu. Democratic Action Party atau DAP sudah terang-terang menolak perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, yang merupakan polisi yang banyak membantu Melayu, untuk dilaksanakan di negeri di bawah pemerintahannya. Selain itu, atas alasan mahu mengekalkan warisan, nama-nama jalan utama di Pulau Pinang ditulis juga dengan perkataan Mandarin. Ternyata ini merupakan satu amaran awal bahawa Pulau Pinang akan ‘di-Singapura-kan’ oleh DAP. Majlis Peguam juga makin berani dengan mengadakan Forum Memeluk Islam bagi menyoal prinsip-prinsip yang dipegang oleh Mahkamah Syariah dalam mengadili kes-kes yang melibatkan mualaf. Baru-baru ini juga, Ketua UMNO Bukit Mertajam secara terbuka mendakwa orang Cina pada zaman pra-Merdeka ialah kaum pendatang. Walaupun secara faktanya betul, namun kebanyakan pemimpin Cina bangkit membantah termasuk dari Barisan Nasional

Kenapa pertembungan ini berlaku? Kenapa selepas 51 tahun merdeka masyarakat Melayu dan bukan Melayu terus menerus bertentangan idea dan bercanggah pendapat berhubung dengan hak istimewa Melayu, status Bahasa Melayu, Islam dan kuasa Raja Melayu. Bukankah ini semua sudah pun termaktub dalam perlembagaan? Bukankah ini sudah dipersetujui oleh pemimpin Melayu dan bukan Melayu di zaman pasca kemerdekaan dahulu?Kenapa anak cucu pemimpin Melayu dan bukan Melayu masih bertelingkah berhubung perkara ini?

Sebenarnya, masyarakat Melayu mungkin gagal dari sudut penerangan terhadap generasi kedua dan ketiga masyarakat bukan Melayu. Kegagalan penerangan ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti persepsi bahawa isu ini tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan jika masyarakat bukan Melayu yang membicarakannya, mereka takut dituduh sebagai bersifat perkauman. Persepsi ini memang ada benarnya kerana memang soal seperti keistimewaan Melayu memang sudah termaktub di dalam perlembagaan dan tidak boleh dipersoal tetapi jika kita tidak membincangkan secara terbuka tetapi penuh berhemah mungkin masyarakat bukan Melayu tidak akan memahami semangat yang wujud di sebalik konsep keistimewaan orang Melayu. Selain itu, kedua-dua pihak , orang Melayu dan bukan Melayu haruslah memberhentikan ‘emotional judgment’ atau mengadili isu ini dengan penuh emosi bagi menjaga hati kedua-dua pihak.

Kita seringkali berbicara tentang 4 tunjang utama yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu dan bukan Melayu satu ketika dahulu iaitu hak istimewa orang Melayu, status Islam, Bahasa Melayu dan kuasa Raja melayu. Semua ini memang betul dan termaktub dalam perlembagaan. Namun kita terlupa tentang hakikat tentang wujudnya satu lagi konsep dalam rangkaian 4 perkara tadi iaitu hak kewarganegaraan. Pemimpin Melayu setuju untuk memberi hak kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dan pemimpin bukan Melayu menerima 4 perkara tadi sebagai membalas pemberian hak kewarganegaraan. Konsep ini dinamakan ‘ Kontrak Sosial’ yang formulanya ialah 4 + 1.Satu fakta yang tidak harus dilupa ialah pada zaman kemerdekaan sebelum kontrak sosial ini dipersetujui, orang bukan Melayu memang berstatus pendatang. Ini bermakna mereka bukanlah warganegara atau penduduk asal Tanah Melayu seperti orang Melayu. Tuan bagi Tanah Melayu ialah orang Melayu dan orang Melayulah berhak menentukan polisi apa yang patut wujud di Tanah Melayu. Konsep ini boleh digunakan juga di negara China dan India iaitu orang berketurunan Cina dan Indialah berhak menentukan polisi apa yang patut mereka laksananakan di negara China dan India kerana mereka tuan di negara mereka. Pemimpin Melayu di Tanah Melayu bersetuju untuk memberi hak kewarganegaraan dan pemimpin bukan Melayu menerima 4 perkara iaitu hak istimewa Melayu, Islam, Bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Generasi kedua dan ketiga orang bukan Melayu di negara kita gagal memahami konsep kontrak social 4 + 1 ini. Mereka merasakan bahawa 4 perkara asas yang dipertahankan oleh orang Melayu menekan dan mendiskriminasi mereka tetapi mereka gagal untuk melihat betapa baiknya orang Melayu untuk memberikan mereka satu perkara yang mempunyai banyak kebaikan iaitu soal hak kewarganegaran yang diberikan tanpa syarat yang ketat kepada nenek moyang mereka. Apa ertinya hak kewarganegaraan ini? Hak kewarganegaraan ini bererti bahawa orang Cina dan India akan memperolehi peluang pendidikan yang percuma, perkhidmatan kesihatan yang murah, hak untuk bersuara, hak untuk menubuhkan persatuan, hak untuk berpolitik , hak untuk mengundi dan hak-hak lain yang dibenarkan perlembagaan. Bayangkan jika pemimpin Melayu di zaman kemerdekaan hanya bersetuju untuk member status ‘penduduk tetap’ atau sekadar status pendatang kepada orang Cina dan India, mungkinkah generasi kedua dan ketiga mereka akan hidup senang lenang dan mewah seperi sekarang? Orang Melayu memang begitu pemurah dengan memberikan status kewarganegaraan tanpa syarat yang ketat kepada orang bukan Melayu. Bayangkan dengan adanya status kewarganegaraan ini, orang Cina dan India diberi peluang untuk bukan sahaja berpolitik malah berpeluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Bukankah ini merupakan satu bentuk pemberian yang sangat murni oleh orang Melayu kepada bukan Melayu. Hakikat kebenaran tentang formula 4 + 1 kontrak sosial ini yang gagal difahami oleh orang bukan Melayu yang membuatkan mereka melenting, marah dan merasakan diri mereka ditindas oleh orang Melayu sedangkan hak kewarganegaraan yang diberikan oleh orang Melayu melalui kontrak sosial inilah yang memberi begitu banyak nikmat kepada kaum pendatang Cina dan India. Pemurahnya orang Melayu…..

Wednesday, August 6, 2008

Genius Negara

Agak menjadi kerugian besar kepada kerajaan Malaysia dan rakyat kita kerana ada minda yang luar biasa seperti Sufiah Yusof dan Titus James Palani tidak dapat menyumbang secara terus terhadap perkembangan negara kita. Kedua-dua nama ini berpotensi menjadi ikon kepada anak-anak muda kita namun mereka berada terlalu jauh dari tanah air dan kita hanya mendengar sekali-sekali tentang diri mereka.
Sufiah Yusof merupakan seorang gadis yang genius yang memasuki St Hilda's College,Universiti Oxford untuk belajar matematik pada usia yang sangat muda iaitu 13 tahun. Kebolehan gadis ini pernah menggegarkan negara dan sering kali menjadi topic perbincangan. Jeliknya, beliau kini juga menjadi perbualan masyarakat kerana menjadi pelacur kelas atasan di London. Memang satu kerugian besar kerana negara tidak mengambil inisiatif untuk mengesan dan membawa kembali gadis yang pintar ini ke Malaysia sebelum kes pelacuran beliau terbongkar.
Titus James Palani pula mempunyai cerita yang agak berbeza. Bercita-cita besar untuk menjadi pemain bola bertaraf dunia, beliau merantau jauh dan terpilih untuk bermain FC Villenoy di Perancis. Beliau memang berbakat di dalam bola sepak dan berazam untuk bermain di Liga Divisyen 1 Perancis. Kebolehan beliau menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seringkali memanggil belaiu untuk menyertai pasukan bola sepak negara.
Kisah mereka berdua memang begitu berbeza sekali. Wanita yang bernama Sufiah mempunyai bakat semula jadi yang sungguh istimewa tetapi tidak mengembangkan potensinya secara optimum hingga beliau terjebak dengan kegiatan yang kurang sihat. Titus pula, menggilap bakatnya dengan azam yang tinggi di perantauan dan terus mendaki cita-citanya. Titus mungkin tidak memiki IQ setinggi Sufiah tetapi keazamannya menjadikan beliau tidak terpesong dari landasan. Ternyata akal yang tajam semata-mata tidak menjamin kejayaan dan kadangkala usaha dan azam lebih membantu untuk mencapai kejayaan.Sufiah dikhabarkan akan diberi sesi kaunseling oleh Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Professional Islam. Tahniah kepada pertubuhan ini kerana sudi membantu gadis ini.
Negara kita tidak pernah lekang dari melahirkan insan-insan yang pintar seperti Sufiah dan Adi Putra. Apa yang kita perlu wujudkan ialah system yang mampu menggilap minda-minda ini untuk betul-betul menyumbang secara optimum kepada perkembangan negara. Adi Putra jelas telah mencetuskan fenomena dan kini menjadi penceramah di sekolah bagi meningkatkan semangat anak-anak muda Malaysia untuk maju terutama di dalam matematik. Biarlah kisah sedih Sufiah menjadi hanya satu-satunya kisah anak genius yang terjeremus ke lembah maksiat.

Tuesday, July 29, 2008

Fitna Dan Islam

Artikel ini ditulis semasa isu penerbitan video 'Fitna' namun saya tidak pernah menyiarkannya.Jadi saya membuatkan keputusan untuk menyiarkannya untuk diulas oleh anda...

Baru-baru ini, ahli Parlimen Belanda, Geert Wilder telah menerbitkan satu video yang bertajuk “Fitna” yang dianggap menghina Islam. Menonton video ini, terdapat perasaan bercampur-aduk di dalam diri saya. Marah, sedih , hairan dan aneh melihat bagaimana seorang ahli Parlimen di sebuah negara yang antara paling maju di dunia boleh menghasilkan video yang boleh menanam bibit-bibit kebencian di kalangan orang yang tidak mengenali Islam terhadap Islam. Saya kurang arif kenapa video ini dihasilkan, adakah ia sememangnya bertujuan untuk menyerang imej Islam atau ia merupakan pandangan jujur dari seorang ahli Parlimen Barat tentang bagaimana masyarakat Eropah khususnya memandang pengertian Islam dan Muslim bagi mereka atau ia merupakan agenda sulit Barat mahu menyerapkan fenomena Islamophobia untuk memburuk imej Islam yang jelas gagal dilindungi oleh badan-badan yang berpengaruh di dalam dunia Islam seperti OIC dan Liga Arab. Soalan-soalan seperti ini menyelubungi pemikiran saya berhubung penerbitan Fitna.

Istilah “Islamophobia” menjadi terkenal selepas beberapa peristiwa yang memburuk imej Islam seperti 11 September 2001. Insiden ini dikaitkan dengan Islam selepas beberapa bukti (yang masih diragui) dikemukakan menunjukkan pembabitan orang Islam di dalam perisitiwa itu. Taktik pengebom berani mati oleh pejuang kemerdekaan Palestin, serangan ke atas kedutaan asing oleh orang Islam dan perjuangan kemerdekaan pejuang Chehnya di Rusia telah ditafsirkan Barat oleh tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan. Tanggapan negatif ini telah menjurus kepada isu yang lebih serius iaitu menuduh Islam menganjurkan keganasan dan menggalakkan kebencian.

Benarkah Islam sebegitu? Adakah Islam penganjur kepada keganasan? Kita sebagai umat Islam mengerti apakah jawapan bagi soalan ini tetapi bagaimana mungkin kita menerangkan kepada orang bukan Islam sedang mereka pasti akan memberikan contoh-contoh yang konkrit bahawa orang Islam memang terlibat di dalam kegiatan keganasan. Inilah yang dapat dilihat di dalam video “Fitna”. “Fitna” dihasilkan dengan mengaitkan ayat-ayat al Quran dengan beberapa insiden keganasan oleh umat Islam atau imej ganas yang ditonjol oleh orang Islam. Ayat-ayat yang dikaitkan di dalam video berkenaan adalah seperti Surah Al ­– Anfal (ayat 60) dan Surah An-Nisa (ayat 56) mengaitkan secara terus tafsiran ayat-ayat itu dengan tindakan beberapa golongan umat Islam yang bersifat ganas. Secara logiknya, soal pentafsiran ini sudah boleh menjadi isu kerana timbul persoalan seperti apakah benar pentafsiran yang dibuat ini betul-betul tepat lebih-lebih lagi oleh seorang bukan Islam dan jikapun kita hendak menerima pentafsiran yang dibuat oleh orang bukan Islam, timbul persoalan lain iaitu adakah pentafsiran ini dibuat secara telus dan neutral dan tidak bercampur dengan emosi kebencian terhadap Islam?

“Fitna” mungkin diterbitkan untuk memainkan sentimen umat Islam untuk bertindak ganas sebagaimana umat Islam menangani isu karikatur menghina Muhamad yang dihasilkan oleh akhbar Denmark Jylland-Posten. Umat Islam terlalu sensitive dengan isu Muhamad bukan sahaja membantah penghasilan karikatur berkenaan malahan juga bertindak ganas dengan menyerang kedutaan dan sebagainya. Ini seolah-olah ‘membenarkan’ imej keganasan yang cuba digambarkan melalui karikatur berkenaan bahawa memang ‘Islam itu agama keganasan’. Jelas di dalam isu karikatur hina Muhamad, umat Islam terperangkap di dalam permainan sentimen yang cuba dimainkan Barat.

Pada pandangan peribadi saya mungkin “Fitna” ini diterbitkan oleh seseorang yang gagal mengenali Islam secara dekat dan dengan keadaan dunia sekarang di mana media terutamanya dari Barat seringkali mengaitkan aktiviti-aktiviti pejuang Islam sebagai satu bentuk keganasan. Pada hakikatnya, di semua agama mempunyai gerakan ekstrimismenya yang tersendiri. Sebagai contoh, dunia pernah digegarkan dengan tindakan pelampau agama Hindu di India menyerang dan menawan Masjid Babel. Sebenarnya tidak adil bagi kita mengaitkan satu-satu agama dengan tindakan buruk yang dilakukan oleh penganutnya. Sebagai contoh, jika seorang yang beragama x melakukan satu tindakan yang boleh dianggap jenayah, maka tidak adil bagi kita mengaitkan bahawa agamanya menjadi faktor utama yang mendorongnya bertindak sedemikian. Jika pelaku itu sendiri pun mahu mengaitkan tindakan salahnya dengan satu agama, itu pun tidak boleh diterima kerana mungkin pentafsiran yang dibuat merupakan salah dan menyeleweng. Isu pelabelan ini yang mungkin mencetuskan “Fitna”.

Di dalam isu “Fitna” ini, sememang umat Islam harus marah dan membantah penerbitan dan tayangannya di Internet kerana ia boleh dianggap sebagai satu bentuk proses yang menggalakkan lagi sentiment Islamophobia di kalangan masyarakat dunia terutamanya dari Barat. Namun, mungkin kita juga harus berfikir tentang intipati video “Fitna”. Adakah imej-imej yang dipaparkan di dalam video itu kesemuanya bersifat provokasi dan menyeleweng atau ada juga yang benar? Jika ada yang dipaparkan di dalam video itu mungkin benar, maka kita sebagai umat Islam harus mengakui kelemahan ini. Kelemahan seperti inilah harus diatasi oleh umat Islam dan tidak mudah melenting dengan emosi.

Kepimpinan Mahasiswa dan AUKU

Baru-baru ini, saya menghadiri satu konvensyen yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin mahasiswa. Di konvensyen berkenaan, ramai pemimpin mahasiswa yang menyuarakan pelbagai idea, pandangan dan kritikan. Di sebalik kemeriahan percambahan minda ini, ada yang sangat jelik di sebalik penganjuran tersebut. Di saat kerajaan meminta rakyat berjimat cermat, konvensyen itu diadakan di ESSET, Bangi yang penempatan dan perkhidmatannya bolehlah dikatakan bertaraf hotel. Sudah tentulah kos penganjurannya tinggi. Memang pelik kerana ada pemimpin mahasiswa yang memperjuangkan supaya kerajaan kurangkan ketirisan di dalam perlaksanaan dasar-dasar utama negara tetapi mereka sendiri berada di dalam program yang berkos tinggi!

Suara-suara yang mendakwa diri mereka alternatif juga berkumandang kuat di konvensyen berkenaan. Mahasiswa yang membawa perjuangan Persatuan Mahasiswa Islam dan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku memberi pelbagai pandangan terutama berhubung gejala hedonisme dan mendakwa AUKU menekan gerekan mereka. Saya bersyukor kerana sekurang-kurangnya mahasiswa dari pelbagai aliran pemikiran dapat berkumpul dan berkongsi idea mereka terutama tentang isu AUKU. Namun ada sesuatu yang sentiasa bermain di pemikiran saya. Adakah AUKU benar-benar menekan mahasiswa? Adakah AUKU menghalang mahasiswa mendekati masyarakat? Pada pandangan saya, AUKU hanya memberi kekangan dari segi beberapa aspek seperti larangan terlibat di dalam parti politik. Andai kekangan seperti ini dikatakan mengekang mahasiswa untuk mendekati masyarakat maka memang lesulah pemimpin mahasiswa kita. Sahabat-sahabat saya di Universiti Utara Malaysia seringkali membuat program baktisiswa mendekati masyarakat di pelbagai tempat. Mereka tidak ditekan malah diberi galakan untuk mendekati masyarakat terutama yang berada di luar bandar. Jika pemimpin mahasiswa didakwa ditekan kerana memperjuangkan hak pelajar, itu lagi pelik kerana AUKU secara jelas memberi ruang kepada pemimpin mahasiswa untuk memperjuangkan hak pelajar.

Tujuan dan fungsi MPP berdasarkan AUKU ialah-

(a) untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu perbadanan di kalangan pelajar-pelajar Universiti;

(b) tertakluk kepada arahan Naib Canselor, untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman;

(c) untuk membuat representasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubung atau berkenaan dengan, keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti;

(d) untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar diUniversiti; dan

(e) untuk menjalankan apa-apa aktiviti alin yang ditentukanoleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Jelas di atas, pemimpin pelajar memang ditugaskan menjaga kebajikan pelajar seperti yang termaktub di (C). Jadi apa relevannya kenyataan bahawa AUKU menekan pelajar. Cuma kesan AUKU ialah mahasiswa kita seolah-olah menjadi AUKU-phobia dan menjadikan mahasiswa kita malas untuk menyumbang kepada masyarakat.

Tuesday, July 22, 2008

Debat Nasional dan Pelajar

Segenap lapisan masyarakat bercakap tentang satu rancangan debat di antara 2 tokoh politik yang berkaliber, Dato Seri Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan dan Dato’ Ahmad Sabree, Menteri Penerangan. Debat yang julang-julang kalinya diadakan ini jelas memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai sendiri tahap pemikiran ahli-ahli politik tanah air di dalam mempertahankan hujah masing-masing. Dari pandangan penulis sebagai mahasiswa, ada beberapa signifikan di sebalik program berkenaan yang banyak mempunyai kaitan dengan kehidupan sebagai mahasiswa.
Terdapat beberapa isu yang diungkit di dalam program berkenaan yang menyentuh kehidupan mahasiswa kini. Dato’ Menteri Penerangan mengajak penonton mengingat kembali pergerakan yang diketuai Dato Seri Anwar semasa beliau masih lagi menjadi pemimpin pelajar di zaman 70-an dulu. Apa yang bermain di pemikiran beliau pada masa itu hingga beliau melancarkan beberapa demonstrasi jalanan bagi membantah isu yang berlaku iaitu kemiskinan masyarakat Baling,Kedah, tidaklah saya pasti. Rentetatan dari peristiwa ini, kerajaan mengwujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal atas dasar untuk mengembalikan semula golongan mahasiswa university ke ‘core business’ mereka iaitu belajar. Kesan AUKU hingga kini dilihat bukan sahaja ‘berjaya’ mengembalikan mahasiswa kembali ke matlamat asal mereka ke universiti malah menjadikan minda mereka terlalu beku untuk berfikir untuk membangunkan masyarakat. Namun fenomena ini mungkin tidak semata-mata dibentuk oleh AUKU tetapi keseluruhan sistem pendidikan masa kini yang terlalu berorentasikan peperiksaan dan menjadikan pelajar kita seperti robot yang hanya menerima suapan ilmu tanpa ada keupayaan dan keinginan untuk menggunakannya untuk berkhidmat bagi masyarakat.
Apa yang menarik di program debat itu ialah kehadiran seorang tokoh pendidikan yang terkenal, Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Beliau hadir sebagai Wakil Dato’ Sabree dan bercakap atas kapasiti Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Malaysia. Memang begitu signifikan sekali apabila 2 tokoh politik sedang berdebat, seorang tokoh akademik hadir untuk memberi ulasan dan pandangan. Namun saya lebih menggemari jika beliau hadir di program berkenaan sebagai pemerhati bebas dan bukannya sebagai wakil kepada pendebat kerana dengan memegang gelaran berkenaan mungkin mengahalang beliau untuk bebas memberi pandangan dan hanya terikat kepada sebelah pihak semata-mata. Lebih-lebih lagi kehadiran beliau semasa beliau masih lagi memegang jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia secara tidak langsung telah mengaitkan universiti berkenaan sebagai pro-kerajaan. Universiti dan pemimpinnya haruslah bebas dari perkaitan dengan unsur-unsur politik dan andai pemimpin tertinggi universiti seperti Naib Canselor boleh meletakkan diri dalam suasana yang mengaitkannya dengan politik maka pemimpin pelajar juga harus diberi ruang dan peluang yang serupa dan sama adil. Kita perlu mengamalkan polisi ‘equal standard’ dan bukannya ‘double standard’ di dalam isu ini.
Ada sesuatu yang muncul di fikiran saya sewaktu meonton semula program debat berkenaan. Alangkah indahnya jika para penonton yang menyaksikan program berkenaan di tempat berlangsung majlis tersebut adalah pelajar dan yang menjadi wakil bagi pendebat ialah golongan pemimpin pelajar. Kita terlalu asyik membincangkan isu pelajar kita kekurangan ‘soft skill’ tetapi kita tidak mahu memberikan ruang sebegini kepada pemimpin pelajar untuk turut sama berinteraksi dengan tokoh-tokoh penting negara secara langsung dan membincangkan isu-isu nasional. Saya amat menggemari budaya di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain iaitu budaya pemimpin tertinggi masuk ke university dan berdebat dengan pelajar. Sikap ini harus kita pupuk di dalam jiwa setiap pelajar agar university tidak akan menjadi ‘pusat ternakan’ pelajar tetapi menjadi pusat percambahan idea yang segar.

Sunday, July 20, 2008

Dilema Dasar Ekonomi Baru

Artikel ini ditulis sejurus beberapa bulan selepas Pilihanraya Umum 8 Mac 2008...
mungkin sudah lapuk untuk dibaca namun pada pandangan penulis masih relevan dengan agenda Melayu
Dilema Dasar Ekonomi Baru.

Idea ketuanan Melayu atau Malay Supremacy di Malaysia seringkali menjadi tajuk perbincangan Masyarakat Melayu lebih-lebih lagi apabila bercakap tentang soal hak-hak istimewa masyarakat Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan. Walaubagaimanapun masyarakat bukan Melayu seringkali melihat idea Ketuanan Melayu yang menunjangi dasar-dasar pro-Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru sebagai satu dasar yang menindas dan menyebabkan kemajuan mereka sedikit tersekat. Menurut Ye Lin-Sheng di dalam bukunya The Chinese Dilema, beliau berpendapat bahawa masyarakat bukan Melayu memang mendapat hasil dari Dasar Ekonomi Baru namun jika polisi ini tidak wujud, maka mereka akan lebih berjaya lagi. Walaupun ini boleh dianggap sebagai pandangan minoriti namun pandangan ini harus diambilkira di dalam membincangkan kesan DEB kepada masyarakat bukan Melayu. Walaupun DEB tidak mencapai kejayaannya di dalam menambah pegangan ekuiti masyarakat Melayu sebanyak 30%, namun kesannya sangat banyak di dalam membantu masyarakat Melayu di dalam ekonomi dan pendidikan. Pentingnya DEB adalah kemakmuran masyarakat Melayu akan membawa kepada kemakmuran negara.
Idea dan kepentingan DEB seringkali disalahtasir oleh masyarakat bukan Melayu sebagai dasar yang menekan dan menghalang kemajuan mereka. Istilah DEB itu seringkali dianggap satu dasar yang memberi peluang untuk Melayu menekan bukan Melayu. Sebuah majalah alternatif menafsirkan DEB atau New Economic Policy (NEP) sebagai Never Ending Policy yang jelas mengambarkan pandangan negatif masyarkat bukan Melayu terhadap dasar ini. Dasar ini diperkenalkan atas asas untuk meningkatkan kekuatan ekonomi masyarakat Melayu dan untuk mengimbangi ‘kek ekonomi’ di antara masyarakat bukan Melayu khususnya dengan masyarakat Melayu. Selain itu, dasar ini juga berfungsi untuk menghapuskan kadar kemiskinan di kalangan semua masyarakat. Perlaksanaan dasar ini, adalah berdasar polisi diskriminasi postif yang memberi lebih banyak peluang kepada masyarkat Melayu dan pada masa yang sama tidak menghapuskan peluang-peluang kepada masyarakat bukan Melayu. Jadi DEB ini merupakan satu dasar ekonomi yang ada kaitan terus dengan soal hak-hak istimewa orang Melayu yang dilindungi perlembagaan.
Suasana politik semasa telah memperlihatkan betapa DEB yang diagungkan oleh masyarakat Melayu mulai terhakis dan terancam. Di Pulau Pinang misalnya, kerajaan negeri yang baru sudah pun mengisytiharkan tidak lagi akan mendokong perlaksaanaan DEB. Perkara ini bukan baru dan sememangnya sudah dijangka. Kepimpinan baru Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan kenyataan yang menolak perlaksanaan DEB. Jesteru, masyarakat Melayu khasnya di Pulau Pinang menjadi mangsa keadaan suasana politik yang baru. Kepimpinan terdahulu di Pulau Pinang walaupun dinaungi oleh kerajaan yang menyokong perlaksanaan DEB namun masih gagal membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang untuk maju hingga timbul isu seperti “Melayu Pulau Pinang dipinggir” dan “marginalization of Malay”. Jadi timbul kegusaran bahawa bolehkah kepimpinan baru yang jelas menolak DEB membantu Melayu Pulau Pinang. Maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang pro-Melayu mula menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan mengadakan perhimpunan di Pulau Pinang.
Satu fenomena menarik yang berlaku kini ialah kurangnya sokongan Melayu sendiri terhadap DEB. Kenyataan oleh seorang tokoh politik di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 16 Mac 2008 menyatakan bahawa DEB gagal memberi faedah yang menyeluruh kepada semua kaum termasuk masyarakat Melayu sendiri. Trend ini mungkin menjadi salah satu faktor berlakunya perubahan politik yang besar di landskap politik negara di mana rata-rata pengundi Melayu tidak lagi menyokong kerajaan yang menaungi DEB. Adakah golongan ini sudah menganggap DEB sudah tidak relevan lagi untuk membantu Melayu? Atau mereka menganggap Melayu sudah boleh berdiri sendiri tanpa dibantu melalui dasar yang bersifat affirmative action atau positive discrimination seperti DEB?
DEB merupakan satu dasar yang lahir dari insiden 13 Mei 1969 yang memperlihatkan hubungan tegang antara kaum sampai ke kemuncaknya. DEB muncul di zaman yang memerlukan kestabilan antara kaum dan kestabilan ini boleh dicapai jika Melayu yang mundur di era itu dibantu dan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi oleh semua kaum dan bukan tertumpu kepada satu kaum semata-mata. Kini selepas 30 tahun pengisytiharannya, DEB sedang melalui zaman-zaman sukar yang mungkin memperlihatkan hakisan sedikit demi sedikit perlaksanaannya. DEB sudah dipersoal secara terbuka tentang perlaksaanaannya oleh masyarakat bukan Melayu dan ketelusannya oleh masyarakat Melayu.Mungkin ini ialah dilema baru Melayu masa kini. DEB dianggap dasar yang pro-Melayu tetapi terpaksa ditentang oleh Melayu sendiri kerana dianggap tidak telus dan kebaikannya tidak dibahagikan secara menyeluruh. Adakah DEB itu sendiri masih relevan untuk berdiri untuk membantu masyarakat Melayu pada suasana politik masa kini? Mungkinkah Melayu perlu satu dasar yang lebih relevan dan berkesan untuk membantu pembangunan mereka atau dasar-dasar pro-Melayu seharus dihapuskan kerana Melayu sudah boleh berdiri tanpa tongkat?Kerajaan harus mengembalikan semula maruah dan kegemilangan DEB di negara kita.

Saturday, July 19, 2008

Rintihan Melayu....

Petikan Utusan 20 July 2008

Beri peluang kepada bumiputera
KUALA LUMPUR 19 Julai - Syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta digesa memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada bumiputera dalam usaha melonjakkan lagi pemilikan ekuiti golongan itu yang kini berada pada tahap 19.4 peratus. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GLC dan syarikat swasta perlu ada kesedaran untuk berbuat demikian kerana melalui langkah tersebut ia sedikit sebanyak mampu meningkatkan jumlah ekuiti golongan bumiputera yang kini masih lagi ketinggalan.
Katanya, apa yang penting ketika ini, GLC dan syarikat swasta perlu mengubah pemikiran mereka supaya terbit kesungguhan untuk membantu bumiputera dalam bidang perniagaan.
"Tanggungjawab untuk meningkatkan jumlah ekuiti bumiputera bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi GLC dan syarikat swasta juga wajar memainkan peranan sama.
"Bagi saya, mereka harus memainkan peranan yang lebih aktif dan bersungguh-sungguh bagi membantu peniaga-peniaga kita," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Konvensyen dua hari itu dianjurkan oleh Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Pergerakan Pemuda UMNO. Turut hadir Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Najib berkata, selain penglibatan GLC dan syarikat swasta, pendekatan baru yang lain juga harus difikirkan bagi meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera.

___________________________________________________________________________

Selepas hampir lebih 30 tahun, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, nyata Melayu masih lagi tertinggal jauh dibelakang...Sukar rasanya memikirkan apakah caranya lagi untuk membantu Melayu teutama di dalam bidang ekonomi. Target 30 % pegangan ekuiti yang ini dicapai untuk menjadi pegangan Melayu masih belum digapai. DEB memang telah melahir ramai Bumiputra ynag berjaya. Namun masih ramai Melayu yang terus tertinggal di belakang. Apakah dasar 'affirmative action' yang menjadi dasar kepada DEB salah hingga gagal membantu Melayu? Atau kerajaan memberi satu tempoh yang singkat bagi perlaksanaan DEB, iaitu hanya 30 tahun sahaja untuk mengubah nasib Melayu sedangkan sudah beratus tahun lamanya Melayu dijajah dan terpinggir? Atau terlalu banyak 'lubang' yang wujud di dalam perlaksanaan DEB hingga berlaku pengaliran wang dan projek ke tempat tidak sepatutnya? Atau masalahnya bermula di minda orang Melayu sendiri iaitu minda yang bergantung kepada subsidi semata-mata hingga tidak mampu memajukan diri.



ASALAMUALAIKOM

ASALAMUALAIKOM KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG MALAYA REFORMIS.....
DI RUANG MAYA INI, KIA BERKONGSI MAKLUMAT,IDEA, KRITIKAN TENTANG NEGARA KITA MALAYSIA