Segenap lapisan masyarakat bercakap tentang satu rancangan debat di antara 2 tokoh politik yang berkaliber, Dato Seri Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan dan Dato’ Ahmad Sabree, Menteri Penerangan. Debat yang julang-julang kalinya diadakan ini jelas memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai sendiri tahap pemikiran ahli-ahli politik tanah air di dalam mempertahankan hujah masing-masing. Dari pandangan penulis sebagai mahasiswa, ada beberapa signifikan di sebalik program berkenaan yang banyak mempunyai kaitan dengan kehidupan sebagai mahasiswa.
Terdapat beberapa isu yang diungkit di dalam program berkenaan yang menyentuh kehidupan mahasiswa kini. Dato’ Menteri Penerangan mengajak penonton mengingat kembali pergerakan yang diketuai Dato Seri Anwar semasa beliau masih lagi menjadi pemimpin pelajar di zaman 70-an dulu. Apa yang bermain di pemikiran beliau pada masa itu hingga beliau melancarkan beberapa demonstrasi jalanan bagi membantah isu yang berlaku iaitu kemiskinan masyarakat Baling,Kedah, tidaklah saya pasti. Rentetatan dari peristiwa ini, kerajaan mengwujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal atas dasar untuk mengembalikan semula golongan mahasiswa university ke ‘core business’ mereka iaitu belajar. Kesan AUKU hingga kini dilihat bukan sahaja ‘berjaya’ mengembalikan mahasiswa kembali ke matlamat asal mereka ke universiti malah menjadikan minda mereka terlalu beku untuk berfikir untuk membangunkan masyarakat. Namun fenomena ini mungkin tidak semata-mata dibentuk oleh AUKU tetapi keseluruhan sistem pendidikan masa kini yang terlalu berorentasikan peperiksaan dan menjadikan pelajar kita seperti robot yang hanya menerima suapan ilmu tanpa ada keupayaan dan keinginan untuk menggunakannya untuk berkhidmat bagi masyarakat.
Apa yang menarik di program debat itu ialah kehadiran seorang tokoh pendidikan yang terkenal, Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Beliau hadir sebagai Wakil Dato’ Sabree dan bercakap atas kapasiti Pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Malaysia. Memang begitu signifikan sekali apabila 2 tokoh politik sedang berdebat, seorang tokoh akademik hadir untuk memberi ulasan dan pandangan. Namun saya lebih menggemari jika beliau hadir di program berkenaan sebagai pemerhati bebas dan bukannya sebagai wakil kepada pendebat kerana dengan memegang gelaran berkenaan mungkin mengahalang beliau untuk bebas memberi pandangan dan hanya terikat kepada sebelah pihak semata-mata. Lebih-lebih lagi kehadiran beliau semasa beliau masih lagi memegang jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia secara tidak langsung telah mengaitkan universiti berkenaan sebagai pro-kerajaan. Universiti dan pemimpinnya haruslah bebas dari perkaitan dengan unsur-unsur politik dan andai pemimpin tertinggi universiti seperti Naib Canselor boleh meletakkan diri dalam suasana yang mengaitkannya dengan politik maka pemimpin pelajar juga harus diberi ruang dan peluang yang serupa dan sama adil. Kita perlu mengamalkan polisi ‘equal standard’ dan bukannya ‘double standard’ di dalam isu ini.
Ada sesuatu yang muncul di fikiran saya sewaktu meonton semula program debat berkenaan. Alangkah indahnya jika para penonton yang menyaksikan program berkenaan di tempat berlangsung majlis tersebut adalah pelajar dan yang menjadi wakil bagi pendebat ialah golongan pemimpin pelajar. Kita terlalu asyik membincangkan isu pelajar kita kekurangan ‘soft skill’ tetapi kita tidak mahu memberikan ruang sebegini kepada pemimpin pelajar untuk turut sama berinteraksi dengan tokoh-tokoh penting negara secara langsung dan membincangkan isu-isu nasional. Saya amat menggemari budaya di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain iaitu budaya pemimpin tertinggi masuk ke university dan berdebat dengan pelajar. Sikap ini harus kita pupuk di dalam jiwa setiap pelajar agar university tidak akan menjadi ‘pusat ternakan’ pelajar tetapi menjadi pusat percambahan idea yang segar.
Tuesday, July 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment