Tuesday, July 29, 2008

Fitna Dan Islam

Artikel ini ditulis semasa isu penerbitan video 'Fitna' namun saya tidak pernah menyiarkannya.Jadi saya membuatkan keputusan untuk menyiarkannya untuk diulas oleh anda...

Baru-baru ini, ahli Parlimen Belanda, Geert Wilder telah menerbitkan satu video yang bertajuk “Fitna” yang dianggap menghina Islam. Menonton video ini, terdapat perasaan bercampur-aduk di dalam diri saya. Marah, sedih , hairan dan aneh melihat bagaimana seorang ahli Parlimen di sebuah negara yang antara paling maju di dunia boleh menghasilkan video yang boleh menanam bibit-bibit kebencian di kalangan orang yang tidak mengenali Islam terhadap Islam. Saya kurang arif kenapa video ini dihasilkan, adakah ia sememangnya bertujuan untuk menyerang imej Islam atau ia merupakan pandangan jujur dari seorang ahli Parlimen Barat tentang bagaimana masyarakat Eropah khususnya memandang pengertian Islam dan Muslim bagi mereka atau ia merupakan agenda sulit Barat mahu menyerapkan fenomena Islamophobia untuk memburuk imej Islam yang jelas gagal dilindungi oleh badan-badan yang berpengaruh di dalam dunia Islam seperti OIC dan Liga Arab. Soalan-soalan seperti ini menyelubungi pemikiran saya berhubung penerbitan Fitna.

Istilah “Islamophobia” menjadi terkenal selepas beberapa peristiwa yang memburuk imej Islam seperti 11 September 2001. Insiden ini dikaitkan dengan Islam selepas beberapa bukti (yang masih diragui) dikemukakan menunjukkan pembabitan orang Islam di dalam perisitiwa itu. Taktik pengebom berani mati oleh pejuang kemerdekaan Palestin, serangan ke atas kedutaan asing oleh orang Islam dan perjuangan kemerdekaan pejuang Chehnya di Rusia telah ditafsirkan Barat oleh tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan. Tanggapan negatif ini telah menjurus kepada isu yang lebih serius iaitu menuduh Islam menganjurkan keganasan dan menggalakkan kebencian.

Benarkah Islam sebegitu? Adakah Islam penganjur kepada keganasan? Kita sebagai umat Islam mengerti apakah jawapan bagi soalan ini tetapi bagaimana mungkin kita menerangkan kepada orang bukan Islam sedang mereka pasti akan memberikan contoh-contoh yang konkrit bahawa orang Islam memang terlibat di dalam kegiatan keganasan. Inilah yang dapat dilihat di dalam video “Fitna”. “Fitna” dihasilkan dengan mengaitkan ayat-ayat al Quran dengan beberapa insiden keganasan oleh umat Islam atau imej ganas yang ditonjol oleh orang Islam. Ayat-ayat yang dikaitkan di dalam video berkenaan adalah seperti Surah Al ­– Anfal (ayat 60) dan Surah An-Nisa (ayat 56) mengaitkan secara terus tafsiran ayat-ayat itu dengan tindakan beberapa golongan umat Islam yang bersifat ganas. Secara logiknya, soal pentafsiran ini sudah boleh menjadi isu kerana timbul persoalan seperti apakah benar pentafsiran yang dibuat ini betul-betul tepat lebih-lebih lagi oleh seorang bukan Islam dan jikapun kita hendak menerima pentafsiran yang dibuat oleh orang bukan Islam, timbul persoalan lain iaitu adakah pentafsiran ini dibuat secara telus dan neutral dan tidak bercampur dengan emosi kebencian terhadap Islam?

“Fitna” mungkin diterbitkan untuk memainkan sentimen umat Islam untuk bertindak ganas sebagaimana umat Islam menangani isu karikatur menghina Muhamad yang dihasilkan oleh akhbar Denmark Jylland-Posten. Umat Islam terlalu sensitive dengan isu Muhamad bukan sahaja membantah penghasilan karikatur berkenaan malahan juga bertindak ganas dengan menyerang kedutaan dan sebagainya. Ini seolah-olah ‘membenarkan’ imej keganasan yang cuba digambarkan melalui karikatur berkenaan bahawa memang ‘Islam itu agama keganasan’. Jelas di dalam isu karikatur hina Muhamad, umat Islam terperangkap di dalam permainan sentimen yang cuba dimainkan Barat.

Pada pandangan peribadi saya mungkin “Fitna” ini diterbitkan oleh seseorang yang gagal mengenali Islam secara dekat dan dengan keadaan dunia sekarang di mana media terutamanya dari Barat seringkali mengaitkan aktiviti-aktiviti pejuang Islam sebagai satu bentuk keganasan. Pada hakikatnya, di semua agama mempunyai gerakan ekstrimismenya yang tersendiri. Sebagai contoh, dunia pernah digegarkan dengan tindakan pelampau agama Hindu di India menyerang dan menawan Masjid Babel. Sebenarnya tidak adil bagi kita mengaitkan satu-satu agama dengan tindakan buruk yang dilakukan oleh penganutnya. Sebagai contoh, jika seorang yang beragama x melakukan satu tindakan yang boleh dianggap jenayah, maka tidak adil bagi kita mengaitkan bahawa agamanya menjadi faktor utama yang mendorongnya bertindak sedemikian. Jika pelaku itu sendiri pun mahu mengaitkan tindakan salahnya dengan satu agama, itu pun tidak boleh diterima kerana mungkin pentafsiran yang dibuat merupakan salah dan menyeleweng. Isu pelabelan ini yang mungkin mencetuskan “Fitna”.

Di dalam isu “Fitna” ini, sememang umat Islam harus marah dan membantah penerbitan dan tayangannya di Internet kerana ia boleh dianggap sebagai satu bentuk proses yang menggalakkan lagi sentiment Islamophobia di kalangan masyarakat dunia terutamanya dari Barat. Namun, mungkin kita juga harus berfikir tentang intipati video “Fitna”. Adakah imej-imej yang dipaparkan di dalam video itu kesemuanya bersifat provokasi dan menyeleweng atau ada juga yang benar? Jika ada yang dipaparkan di dalam video itu mungkin benar, maka kita sebagai umat Islam harus mengakui kelemahan ini. Kelemahan seperti inilah harus diatasi oleh umat Islam dan tidak mudah melenting dengan emosi.

No comments: