Artikel ini ditulis sejurus beberapa bulan selepas Pilihanraya Umum 8 Mac 2008...
mungkin sudah lapuk untuk dibaca namun pada pandangan penulis masih relevan dengan agenda Melayu
Dilema Dasar Ekonomi Baru.
Idea ketuanan Melayu atau Malay Supremacy di Malaysia seringkali menjadi tajuk perbincangan Masyarakat Melayu lebih-lebih lagi apabila bercakap tentang soal hak-hak istimewa masyarakat Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan. Walaubagaimanapun masyarakat bukan Melayu seringkali melihat idea Ketuanan Melayu yang menunjangi dasar-dasar pro-Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru sebagai satu dasar yang menindas dan menyebabkan kemajuan mereka sedikit tersekat. Menurut Ye Lin-Sheng di dalam bukunya The Chinese Dilema, beliau berpendapat bahawa masyarakat bukan Melayu memang mendapat hasil dari Dasar Ekonomi Baru namun jika polisi ini tidak wujud, maka mereka akan lebih berjaya lagi. Walaupun ini boleh dianggap sebagai pandangan minoriti namun pandangan ini harus diambilkira di dalam membincangkan kesan DEB kepada masyarakat bukan Melayu. Walaupun DEB tidak mencapai kejayaannya di dalam menambah pegangan ekuiti masyarakat Melayu sebanyak 30%, namun kesannya sangat banyak di dalam membantu masyarakat Melayu di dalam ekonomi dan pendidikan. Pentingnya DEB adalah kemakmuran masyarakat Melayu akan membawa kepada kemakmuran negara.
Idea dan kepentingan DEB seringkali disalahtasir oleh masyarakat bukan Melayu sebagai dasar yang menekan dan menghalang kemajuan mereka. Istilah DEB itu seringkali dianggap satu dasar yang memberi peluang untuk Melayu menekan bukan Melayu. Sebuah majalah alternatif menafsirkan DEB atau New Economic Policy (NEP) sebagai Never Ending Policy yang jelas mengambarkan pandangan negatif masyarkat bukan Melayu terhadap dasar ini. Dasar ini diperkenalkan atas asas untuk meningkatkan kekuatan ekonomi masyarakat Melayu dan untuk mengimbangi ‘kek ekonomi’ di antara masyarakat bukan Melayu khususnya dengan masyarakat Melayu. Selain itu, dasar ini juga berfungsi untuk menghapuskan kadar kemiskinan di kalangan semua masyarakat. Perlaksanaan dasar ini, adalah berdasar polisi diskriminasi postif yang memberi lebih banyak peluang kepada masyarkat Melayu dan pada masa yang sama tidak menghapuskan peluang-peluang kepada masyarakat bukan Melayu. Jadi DEB ini merupakan satu dasar ekonomi yang ada kaitan terus dengan soal hak-hak istimewa orang Melayu yang dilindungi perlembagaan.
Suasana politik semasa telah memperlihatkan betapa DEB yang diagungkan oleh masyarakat Melayu mulai terhakis dan terancam. Di Pulau Pinang misalnya, kerajaan negeri yang baru sudah pun mengisytiharkan tidak lagi akan mendokong perlaksaanaan DEB. Perkara ini bukan baru dan sememangnya sudah dijangka. Kepimpinan baru Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan kenyataan yang menolak perlaksanaan DEB. Jesteru, masyarakat Melayu khasnya di Pulau Pinang menjadi mangsa keadaan suasana politik yang baru. Kepimpinan terdahulu di Pulau Pinang walaupun dinaungi oleh kerajaan yang menyokong perlaksanaan DEB namun masih gagal membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang untuk maju hingga timbul isu seperti “Melayu Pulau Pinang dipinggir” dan “marginalization of Malay”. Jadi timbul kegusaran bahawa bolehkah kepimpinan baru yang jelas menolak DEB membantu Melayu Pulau Pinang. Maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang pro-Melayu mula menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan mengadakan perhimpunan di Pulau Pinang.
Satu fenomena menarik yang berlaku kini ialah kurangnya sokongan Melayu sendiri terhadap DEB. Kenyataan oleh seorang tokoh politik di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 16 Mac 2008 menyatakan bahawa DEB gagal memberi faedah yang menyeluruh kepada semua kaum termasuk masyarakat Melayu sendiri. Trend ini mungkin menjadi salah satu faktor berlakunya perubahan politik yang besar di landskap politik negara di mana rata-rata pengundi Melayu tidak lagi menyokong kerajaan yang menaungi DEB. Adakah golongan ini sudah menganggap DEB sudah tidak relevan lagi untuk membantu Melayu? Atau mereka menganggap Melayu sudah boleh berdiri sendiri tanpa dibantu melalui dasar yang bersifat affirmative action atau positive discrimination seperti DEB?
DEB merupakan satu dasar yang lahir dari insiden 13 Mei 1969 yang memperlihatkan hubungan tegang antara kaum sampai ke kemuncaknya. DEB muncul di zaman yang memerlukan kestabilan antara kaum dan kestabilan ini boleh dicapai jika Melayu yang mundur di era itu dibantu dan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi oleh semua kaum dan bukan tertumpu kepada satu kaum semata-mata. Kini selepas 30 tahun pengisytiharannya, DEB sedang melalui zaman-zaman sukar yang mungkin memperlihatkan hakisan sedikit demi sedikit perlaksanaannya. DEB sudah dipersoal secara terbuka tentang perlaksaanaannya oleh masyarakat bukan Melayu dan ketelusannya oleh masyarakat Melayu.Mungkin ini ialah dilema baru Melayu masa kini. DEB dianggap dasar yang pro-Melayu tetapi terpaksa ditentang oleh Melayu sendiri kerana dianggap tidak telus dan kebaikannya tidak dibahagikan secara menyeluruh. Adakah DEB itu sendiri masih relevan untuk berdiri untuk membantu masyarakat Melayu pada suasana politik masa kini? Mungkinkah Melayu perlu satu dasar yang lebih relevan dan berkesan untuk membantu pembangunan mereka atau dasar-dasar pro-Melayu seharus dihapuskan kerana Melayu sudah boleh berdiri tanpa tongkat?Kerajaan harus mengembalikan semula maruah dan kegemilangan DEB di negara kita.
Sunday, July 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment